Friday, April 02, 2021

9 FAKTA COVID-19

Pengenalan

Sejak mula dilaporkan pada Disember 2019, perkataan Coronavirus dan COVID-19 kini menjadi perhatian dan bualan dalam segenap lapisan masyarakat baik yang tua mahupun yang muda.  COVID-19 tidak lagi asing bagi masyarakat Malaysia bahkan di seluruh dunia. Sehingga 6 Oktober 2020, sebanyak 36 juta kes melibatkan lebih 1,054,604 kematian telah dilaporkan di seluruh dunia. Di Malaysia pula sebanyak 13,504 kes telah dilaporkan dengan jumlah kematian sebanyak 141 orang. Hal ini amat membimbangkan pelbagai pihak kerana angka ini terus meningkat saban hari. Untuk mengekang penularan virus ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini berlanjutan hingga fasa ke-enam dari 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.  Walaupun hampir 9 bulan semenjak virus ini mula ditemui, masih ramai antara kita yang tidak tahu perkara penting tentang COVID-19. Oleh itu, 9 fakta akan diulas untuk memastikan rakyat Malaysia memahami isu-isu penting mengenai COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

  1. Apakah itu Coronavirus?

Coronavirus merujuk kepada satu kumpulan virus yang besar yang juga merangkumi virus-virus lain yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia termasuk SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Syndrome), MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome) dan virus-virus lain.

Perkataan COVID-19 itu sendiri sebenarnya bukan merujuk kepada virus tetapi merujuk kepada nama penyakit yang disebabkan jangkitan Coronavirus. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudiannya membuat keputusan untuk menamakan virus ini secara rasmi sebagai Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV). Untuk mengelakkan kekeliruan dengan wabak SARS yang melanda Asia pada awal tahun 2003, WHO telah menamakan penyakit yang disebabkan SARS-CoV ini sebagai Coronavirus Disease 2019 (COVID-19).

  1. Apakah asal-usul SARS-CoV?

Pernah viral di media sosial bahawa SARS-CoV merupakan virus hasil ciptaan biokejuruteraan di makmal namun semuanya berita palsu semata-mata. Tiada bukti kukuh yang boleh menunjukkan SARS-CoV dicipta oleh manusia di dalam makmal melalui teknik biokejuruteraan. Malah, nama virus ini sendiri iaitu SARS-CoV yang berkait rapat dengan virus yang menyebabkan penyakit SARS, menunjukkan bahawa virus SARS-CoV ini wujud secara semula jadi.

Beberapa orang saintis dari China telah berjaya membuktikan bahawa virus SARS-CoV ini mempunyai ciri persamaan sebanyak 91.02% apabila dibandingkan dengan virus Pangolin-CoV (Coronavirus dalam tenggiling) dan 90.55% dengan BatCoV (Coronavirus dalam kelawar - RaTG13) di peringkat genom. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika virus ini berasal daripada haiwan mamalia yang kemudiannya menjangkiti manusia.

Rajah 1. Perbandingan genom DNA SARS-CoV, Pangolin-CoV dan BatCov RaTG13 yang menunjukkan persamaan sehingga 90%. (Sumber Zhang et al. 2020)

  1. Apakah variasi gejala dan simptom akibat jangkitan Coronavirus?

Simptom penyakit COVID-19 adalah tidak spesifik dan boleh dikategorikan daripada tidak mempunyai sebarang simptom hingga sangat teruk dan boleh membawa maut. Simptom akan mula ditunjukkan dalam tempoh 2 minggu selepas seseorang itu terdedah kepada virus ini. Berdasarkan analisis, kebanyakan pesakit COVID-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Malah, anggaran pesakit COVID-19 yang tidak menunjukkan apa-apa simptom adalah setinggi 78%.

Bagi yang mempunyai simptom, menurut sebuah kajian daripada China, simptom yang paling kerap dilaporkan ialah demam (83.21%) dan batuk (61.74%) dan juga keletihan (30.22%). Simptom-simptom lain yang telah dilaporkan adalah seperti sakit sendi, penghasilan kahak, kesukaran bernafas, pening kepala, sakit tekak, mabuk, muntah, cirit birit, sakit dada, hidung tersumbat, selesema dan hilang selera makan. Untuk tahap jangkitan yang sangat teruk, pesakit COVID-19 boleh mendapat jangkitan paru-paru yang seterusnya menyebabkan radang kepada kantung udara paru-paru dan mempunyai kesukaran yang amat teruk untuk bernafas sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan.

  1. Adakah generasi muda kebal daripada jangkitan Coronavirus?

Semua peringkat umur mempunyai risiko untuk dijangkiti jika terdedah. Malahan, pesakit termuda yang terkorban di Malaysia ialah kes positif ke-2864 Malaysia iaitu wanita berusia 23 tahun dan memiliki rekod menghidap penyakit tiroid.

Analisis yang dilakukan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan China menunjukkan bahawa kesemua kumpulan umur boleh dijangkiti COVID-19. Kes paling muda dilaporkan ialah bayi berusia 3 bulan dan paling tua berusia 104 tahun. Oleh itu, semua individu tanpa mengira umur perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan virus SARS-CoV ini.

Kumpulan Umur (tahun)

Prevalens (%)

0-9

0.9

10-19

1.2

20-29

8.1

30-39

17.0

40-49

19.2

50-59

22.4

60-69

19.2

70-79

8.8

≥80

3.2

Jadual 1. Kadar prevalens jangkitan COVID-19 mengikut kumpulan umur di negara China (Sumber: Chinese Center of Disease Control and Prevention).

  1. Mengapa kadar kematian lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita bagi pesakit COVID-19?

Lelaki dan wanita mempunyai risiko yang sama untuk dijangkiti COVID-19. Walau bagaimanapun, Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan statistik bahawa kadar kematian lelaki adalah sebanyak 63 % di Eropah. Di Malaysia sehingga 27 Ogos 2020, daripada 125 kematian, 95 daripadanya ialah lelaki.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada hal ini. Faktor pertama ialah kerana lelaki mempunyai kepekatan Angiotensin-Converting Enzyme 2 (ACE2) yang lebih tinggi di dalam darah. Protein ACE2 menyedia laluan masuk untuk virus SARS-CoV dan lebih mudah menginfeksi sel-sel terutamanya sel pada bahagaian paru-paru. Selain itu, bilangan lelaki yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kegagalan buah pinggang dan hati juga adalah lebih tinggi daripada wanita juga menjadi   faktor penyumbang kepada peningkatan bilangan kes dalam kalangan lelaki. Gaya hidup lelaki yang lebih suka keluar rumah, tidak mematuhi langkah pencegahan dan merokok juga dipercayai menjadi punca kadar kematian yang tinggi dalam kalangan lelaki.


Rajah 2. Data menunjukkan jumlah kes kematian mengikut jantina di Malaysia [sumber daripada Department of Statistic Malaysia (DOSM)]

  1. Apakah kesan jangkitan Coronavirus kepada penyakit sedia ada?

Sememangnya penyakit sedia ada (ko-morbiditi) akan membawa kepada kesan dan komplikasi yang lebih serius kepada pesakit COVID-19. Statistik di Malaysia menunjukkan bahawa kebanyakan kematian COVID-19 di Malaysia merupakan daripada pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Namun begitu, sebanyak 74.07% pesakit COVID-19 tidak menghidapi sebarang penyakit sedia ada (ko-morbiditi).  

  1. Bolehkah COVID-19 disebarkan melalui air mata, najis atau secara seksual?

Beberapa kajian telah dilakukan menunjuk virus SARS-CoV boleh muncul di dalam air mani, najis dan air mata pesakit COVID-19 namun belum ada kes COVID-19 dilaporkan disebarkan melalui cara-cara tersebut. Menurut Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya tiga cara diketahui untuk COVID-19 disebarkan. Pertama, melalui titisan daripada simptom pernafasan (batuk dan bersin) apabila berada dalam  jarak 1 meter. Kedua, virus juga boleh disebarkan dalam bentuk ‘fomite’ iaitu melalui titisan saluran pernafasan yang jatuh ke persekitaran sekeliling pesakit COVID-19. Yang ke tiga, virus boleh menjangkiti melalui kontak terus dengan pesakit atau dengan objek yang dipegang atau digunakan oleh pesakit.  Satu kajian di Universiti California menunjukkan virus SARS-CoV boleh hidup di atas permukaan kadbod selama 24 jam dan di atas permukaan plastik dan besi untuk tempoh 2-3 hari.

Rajah 3.  Perbandingan tempoh jangka hayat Coronavirus pada permukaan yang berbeza dalam situasi normal (Sumber dari Neeltje VD et al, NEJM)

  1. Adakah penjarakan sosial, penutup muka dan pelindung mata berkesan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19?

Seperti yang diketahui, penyebaran COVID-19 adalah melalui titisan daripada saluran pernafasan (batuk dan bersin) pada jarak 1 meter dan juga kontak secara dekat. Oleh yang demikian, langkah pencegahan adalah amat penting untuk mengekang virus daripada terus tersebar. Satu kajian secara ‘systematic review dan meta-analysis’ telah dilakukan untuk mengkaji jarak optimum untuk mengelakkan daripada jangkitan dan melihat keberkesanan penggunaan penutup muka dan pelindung mata. Hasil daripada kajian tersebut mendapati jarak fizikal 1 meter dan lebih adalah lebih selamat dan mengurangkan kadar penyebaran virus. Selain itu, penggunaan penutup muka berjaya mengurangkan kadar penyebaran dengan penggunaan penutup muka N95 adalah yang terbaik berbanding penutup muka yang lain. Akhir sekali, pelindung mata juga dapat mengurangkan kadar infeksi. Oleh itu, masyarakat perlulah mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan penutup muka dan pelindung mata ketika berada di luar untuk memutuskan rantaian jangkitan virus ini.

Rajah 4. Perbandingan langkah-langkah pencegahan dan peluang untuk menyebarkan COVID-19. (Sumber daripada Chu DK et al.)

  1. Penawar bagi COVID-19 sudah ditemui?

Sehingga hari ini, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau mana-mana agensi kesihatan dan negara-negara dunia tentang penawar khusus bagi penyakit COVID-19 ini. Vaksin bagi COVID-19 pula akan mengambil masa yang agak lama untuk disediakan dengan sempurna. Namun begitu, WHO bersama 90 buah negara termasuk Malaysia telah bekerjasama melancarkan percubaan klinikal solidariti untuk mencari rawatan bagi COVID-19.

Percubaan klinikal solidariti adalah percubaan melibatkan penggunaan ubat-ubatan yang pernah digunakan untuk merawat penyakit lain dan mendatangkan hasil positif kepada pesakit COVID-19. Antara ubatan yang diumumkan oleh WHO untuk digunakan dalam percubaan ini ialah Remdesivir (menunjukkan kesan positif untuk merawat MERS dan SARS), Lopinavir/Ritonavir (digunakan untuk merawat HIV) dan Chloroquine dan Hydroxychloroquine (digunakan untuk merawat Malaria dan penyakit reumatologi).

Penggunaan plasma pesakit COVID-19 yang sudah sembuh daripada COVID-19 juga sedang giat dijalankan di peringkat antarabangsa namun hasilnya masih lagi tidak diketahui. Ketua Pengarah Kesihatan      Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah membuat beberapa kenyataan akhbar berkenaan penglibatan Malaysia dalam percubaan ini dan penggunaan rawatan ubat-ubatan ini.

Kesimpulan

Masih banyak maklumat tentang COVID-19 dapat diketahui hasil daripada bacaan dari yang sumber yang sahih. Akhir kata, semua rakyat Malaysia seharusnya mengikuti arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh KKM dan pakar kesihatan yang diiktiraf dari semasa ke semasa dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini. Sama-samalah kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.


Rujukan : http://covid19.kk.usm.my/index.php/artikel/bacaan-umum/79-9-fakta-mengenai-covid-19

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH DENGAN NORMA BAHARU



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...